KM cintai aktiviti berbasikal
SEMANGAT: Mohd Ali (tiga dari kanan), Saudara Jai (JBC: 2 dari kiri) dan Saudara Pucat (JBC: Bahagian belakang..di tengah-tengah) bersama Ahli Kelab Berbasikal Alam Sekitar Negeri Melaka mulakan kayuhan dari Taman Rempah. |
MELAKA: Kelab Berbasikal Alam Sekitar Negeri Melaka (KBANM) berharap orang ramai di negeri ini mencontohi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang kekal mencintai aktiviti berbasikal apabila sudi turut serta dalam acara kayuhan malam sejauh 4.5 kilometer anjuran kelabnya bermula dari Taman Rempah, di Pengkalan Rama menuju ke Banda Hilir, baru-baru ini.
Pengerusinya, Toh Kian Keong, berkata kelab itu berjaya mencapai objektifnya apabila Mohd Ali yang menjadi tetamu VIP acara itu diundang khas sebagai rasa hormat ke atas Ketua Menteri Melaka itu pernah mengayuh basikal ke tempat kerja selama tiga tahun ketika berkhidmat dengan Lembaga Letrik Negara (kini Tenaga Nasional Berhad) suatu ketika dulu.
Katanya, kayuhan malam itu kerap dilakukan ahlinya yang menghimpunkan pelbagai kaum dari gabungan Kumpulan Berbasikal Chop Sin Bee Hin Bandar Melaka, Kumpulan Berbasikal Ayer Molek, Alor Gajah, Jasin Bikers Club (JBC), Malacca Mountain Bike Club dan juga Kelab Berbasikal Petronas Penapisan Melaka yang dianggarkan seramai 138 anggota.
Toh amat berpuas hati apabila aktiviti seperti itu turut disertai VIP kerana ia boleh dijadikan ikon bagi kelab itu menggalakkan orang ramai berbasikal sebagai usaha berkesan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.
"Aktiviti-aktiviti yang kami lakukan amat menarik, jika ada kelapangan, kami akan anjurkan kayuhan hujung minggu sekitar Melaka, Johor dan negeri-negeri lain dan juga kayuhan malam yang diadakan pada hari-hari tertentu," katanya lagi.
Katanya, acara itu dilakukan untuk mempromosikan kelab itu kepada orang ramai sekali gus menambah keahlian.
Katanya, kelab itu mungkin meningkatkan program promosi dengan harapan ia dapat mencapai sasaran sebanyak 1,000 penyertaan dan pada acara seterusnya dan berharap kerajaan negeri memberikan sedikit sebanyak sokongan bagi memastikan ia terus popular.
0 comments:
Post a Comment